Skru RM15 sebatang (U)

9:30 AM / Comments (0) / by Admin

_________________________________

Dimana ketulusan berniaga? aku pernah dengar harga srku sebatang boleh jadi RM15. patut la susah sangat nak maju. . hish.. bagi pihak yg buat kerja-kerja tak senonoh macam ni, ingatla apa yg Pak Ungku pesan: low productivity leads to poverty.

Dipetik dari utusan.

Lagi harga alatan 'tidak masuk akal' dikesan


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara masih lagi mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga 'tidak masuk akal' bagi tahun 2008.

Antaranya, laporan itu mengesan pembekalan dua unit komputer riba yang harga pasaran hanya RM9,000 tetapi dibeli pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk kegunaan makmal di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Balik Pulau, Pulau Pinang pada harga RM84,640.

Kolej itu juga dibekalkan sebanyak 15 unit pencetak laser jenama Hewlet Packard P3005X pada harga RM7,722 seunit berbanding harga pasaran RM5,000 seunit



"Jumlah yang dibayar oleh Mara adalah RM40,830 lebih tinggi daripada harga pasaran," menurut laporan itu.

Antara kelemahan lain yang dikesan adalah pembelian 204 manual pengajaran kulit keras antara harga RM1,393 dan RM2,945 yang berjumlah RM358,476 dan kesemua manual itu sebenarnya tidak digunakan.

Pembelian alatan berjenama sama tetapi pada harga berlainan juga dikesan menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu di kolej berkenaan.

"Wujud perbezaan harga setiap peralatan yang sama di makmal dan bengkel berlainan, harga itu didapati tidak konsisten antara makmal yang terlibat, walaupun peralatan berkenaan mempunyai spesifikasi dan jenama sama," katanya.

Mara juga dikesan gagal menguna pakai pandangan yang diberikan pihak perunding.

"Pada pandangan audit, kos peralatan oleh perunding dan harga pasaran perlu digunakan sebagai panduan semasa menetapkan harga kontrak.

"Selain itu, kajian pasaran peralatan perlu dibuat dengan teliti sebelum perolehan diluluskan. Mara sepatutnya mengoptimumkan perkhidmatan perunding untuk menjalankan kajian pasaran peralatan bagi menjamin harga yang ditawarkan adalah munasabah," katanya.

Wujud juga permasalahan tuntutan bayaran di luar syarat kontrak.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 turut mengesan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas.

Antara kelemahan yang diperhatikan adalah kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Walaupun diberikan tiga kali lanjutan masa iaitu selama 251 hari, bangunan MRSM masih belum memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki sehingga kini menyebabkan Sijil Perakuan Siap Kerja tidak dapat dikeluarkan.

Selain itu, denda ganti rugi yang ditetapkan tidak dikenakan ke atas kontraktor atas kelewatan menyiapkan projek.

"Di samping itu, bangunan yang siap mempunyai kecacatan dan kurang berkualiti.

''Berlaku kebocoran paip dan resapan air di asrama dan kuarters guru hingga meninggalkan kesan ketara di dinding, kemudahan di pavilion dan di padang tidak dapat digunakan kerana pembinaan tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Selain itu, Jabatan Audit Negara juga telah melakukan audit terhadap 11 projek pembinaan di lima kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu di Sabah, Shah Alam, Puncak Alam, Puncak Perdana dan Kelantan.

Pengauditan dijalankan antara Oktober hingga Disember 2008 mendapati beberapa kelemahan dalam pengurusan projek pembinaan dan penyenggaraan kampus UiTM.

"Antara kelemahan adalah kurang perancangan di peringkat awal menyebabkan banyak perubahan kerja dibuat dan pertambahan kos.

"Pengurusan pemantauan projek juga tidak berkesan menyebabkan projek lambat disiapkan dan pembinaan kurang berkualiti," katanya.





Suka entri kali ni? follow/bookmark ikanstim sekarang sempena stok masih ada!

0 Comments: